Thursday 30 July 2015

KOMUNITI LIGA KEBANGSAAN BOLA KERANJANG 2015

National Community Basketball League 2015
Oleh: Azmil Zakri



Pada 28 Mac 2015, Komuniti Liga Perdana Kebangsaan Bola Keranjang ke-10 (sebelum ini dikenali sebagai ‘Non-Chinese Basketball League’) telah mengadakan pertandingan mereka di gelanggang bola keranjang Taman Connaught, yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur, yang menampilkan 62 pasukan dalam 3 divisyen berasingan, jumlah ini melebihi rekod pasukan yang terlibat pada tahun 2006, sebanyak tiga kali ganda.

Liga ini turut memaparkan beberapa penaja termasuk Peak, Xballer dan Gatorade di samping penaja-penaja yang lain. Pada tahun ini, NCBL juga memperkenalkan pasukan terapi sukan UITM Shah Alam yang menyediakan perkhidmatan urut dan 'taping' di gelanggang.

Pasukan dalam setiap divisyen terdiri daripada beberapa pemain berpengalaman yang telah wujud sejak permulaan liga pada tahun 2006, dan terdapat juga beberapa pemain yang telah aktif sejak awal tahun 2000 dan lewat 90-an. Selain itu, banyak pasukan baru yang kebanyakannya bermula di divisyen yang lebih rendah dan mempunyai peluang untuk menaikkan 'ranking' mereka pada tahun depan berdasarkan keputusan mereka pada akhir musim ini.

Di dalam pertandingan ini, divisyen pertama mempunyai 8 pasukan, manakala divisyen kedua mempunyai 16 pasukan yang  dibahagikan kepada 2 kumpulan, dan terdapat 36 pasukan dalam divisyen ketiga yang dibahagikan kepada 4 kumpulan. Semua divisyen ini mengikuti sistem 'round robin' di mana setiap pasukan akan bertemu setiap pasukan dengan mengumpul mata di mana pasukan yang mendahului dengan pungutan mata akan mara ke pusingan kalah mati. Pasukan di kedudukan yang tertinggi akan dinobatkan sebagai juara keseluruhan atau dinaikkan 'ranking' ke divisyen lebih tinggi.

Bilangan pasukan yang tinggi ini merupakan satu bukti kepada usaha Encik Khairul Anuar Jailani, bekas pemain kebangsaan, juga Encik Wong Wing Wai, individu yang prihatin dengan perkembangan bola keranjang di Malaysia, serta semua pemain berpengalaman dan juga pemain baru dalam komuniti NC sendiri. Tanpa mengenal penat lelah mereka bersungguh-sungguh menyokong liga ini dengan memberi maklum balas dan kritikan membina untuk sampai ke tahap hari ini.

Langkah seterusnya adalah untuk menambah bilangan kursus kejurulatihan, kursus pengadilan dan jurulatih berpangkat, dan mungkin mengadakan kem asas kemahiran bagi mereka yang baru atau yang berminat dalam sukan ini. Selain itu, komuniti ini berhasrat untuk mencurah lebih banyak tenaga dan usaha hingga ke akar umbi.

Pada masa ini, sukan bola keranjang di Malaysia dianggap sebagai sukan 'orang cina' oleh masyarakat umum. Ini merupakan stigma yang mengecewakan untuk sukan yang tidak boleh dikelaskan mengikut kaum, umur atau mana-mana aspek fizikal yang lain. Matlamat utama liga ini adalah untuk menggalak dan membantu membangunkan sukan untuk semua, dan mudah-mudahan suatu hari nanti menjadi platform bagi peserta untuk mempamerkan kemahiran dan bakat mereka dalam persekitaran yang kompetitif, sementara masih mampu untuk berseronok dan bersosial.

No comments:

Post a Comment